Kerana Islam, Kita Dikatakan KOLOT!!

Bismillahhirrahmanirrahim…

As-salamullahi'alaykumwarahmatullahi wabarakatuh.

Moga kalian semua diberkati Allah.
Berhari menulis isi hati untuk mengingatkan diri sendiri dan saudara sesama Islam. Lahirlah idea menulis atas tajuk ini. Mungkin sebab saya salah seorang dari mereka yang berfikiran kolot kerana berfikiran berhati-hati dalam soal yang dianggap remeh seperti pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Andai tersalah pandangan, tegurlah saya yang hina ini wahai insan-insan yang dikasihi Allah diluar sana.

Syukran.

Babak 1.


Berlaku di?

Salah sebuah bilik di asrama lelaki.

Masa?
Pagi, petang atau malam.

“Eh Din, jom belajar dengan Siti dan Nurul? Mereka dah lama tunggu di kafe tu.”
“Tak mahulah Bad. Aku boleh belajar sendirian. Lagipun sejak bila kau belajar dengan diaorang ni?”
“Alah, bosanlah belajar dengan sejantina ni, tak fun la. Kalau dengan lain jantina ni banyak sikit idea.Mencurah-curah ilmu lebih aku dapat..” sengih si Bad.
“Tapi kan diaorang bukan mahram kita? Takkan kau lupa apa kata kau sebelum ni? Belajar dengan mahram lebih baik, redha Allah ada. If terdesak sangat and in case perempuan
je yang dapat kuasai topik tertentu kau akan ajak ramai-ramai dan sekelas untuk belajar sama. Lebih baik. Fitnah pun tak ada.”
“Memanglah tapi tu dulu. Aku rasa, kolot betul pemikiran aku sendiri kan? Okeylah, kau nak simpan kata-kata aku tu simpan jelah, aku pergi dulu.”

Babak 2.

Berlaku di?
Dalam pesanan ringkas.

Masa?
Bila-bila.

“Ina,kita jumpa di taman bunga eh? Please...saya tak pernah dapat jumpa awak berdua je.
Di sekolah pun terserempak dan awak tak pernah pun nak senyum dan selalu je elak.”

“Man, kan saya dah cakap, saya tak nak. Saya tak boleh. Berjumpa sebab apa? Bukan ada perkara penting. Kalau saya bawa Kak Nah, awak tak bagi. Nak bawa Abang Usop pun tak boleh. Mak dan ayah? Lagilah awak tak mahu. Tak bersedia la...apa-apa la. Lagi, jumpa je pun tapi tetap kena bawa mahram bersama. Itu hukum yang patut kita terima dan ditetapkan oleh Islam. Lainlah awak ni suami saya ”

“Alah awak ni, kolot betullah. Bukan saya nak apa-apa kan awak pun sampai kena bawa semua famili awak sekali. Takdelah privacy. Cuba tengok si Rizal dan Imah tu, diaorang selalu jumpa tapi batas jaga jugak. Takde pun sampai bawa sekali semua famli.”

“Soalnya, saya ni bukan bini awak yang boleh dibawa sesuka hati berjumpa tanpa sebab yang

dibolehkan syarak. Awak nak jumpa sebab nak luahkan perasaan awak kan? Saya tak nak.
Imah tu lainlah, dia biasa benda-benda macam tu. Saya tak biasa dan saya tak nak biasakan buat perkara sia-sia ni. Awak nak perempuan macam Imah? Carilah lain. Maaf.”

“Ala..Ina, maaf eh. Hmm..Kalau macam tu saya jumpa awak di sekolah jela. Dapat tengok tanpa jumpa berdua pun jadilah. Nanti if saya dah mampu saya datang terus rumah awak.”

******

Dan..berapa banyak lagi babak dalam kehidupan yang menunjukkan pemikiran-pemikiran mereka yang mahukan kebebasan seperti yang ditunjukkan oleh pihak bukan ISLAM. Pemikiran ISLAM pula sering dikatakan sebagai KOLOT. Siapakah yang paling maju diantara umat Islam yang benar-benar ikut budaya dan cara mereka yang bukan Islam? Orang Islam mana pula yang benar-benar mundur dan ketinggalan hanya kerana ikut setiap apa yang digariskan oleh ISLAM?

Allah dah mengisytiharkan kesempurnaan ISLAM di dalam Kalamullah. Andai ia tidak sempurna, tiadalah perintah Allah yang menyuruh kita, manusia yang lemah dan hina ini patuh dan taat
pada setiap perintahNYA..Patuh dan taat pada agamaNYA.

“Aslam taslim!”
“Islamlah, anda akan selamat!”

Kerana makna Islam sendiri membawa maksud sejahtera. Mereka yang berfikiran bercanggah dari pemikiran yang Islam gariskan, dan tidak meneliti kesempurnaan dan kebaikan yang

terkandung di dalam Islam mungkin akan meletakkan Islam sebagai agama yang leceh, kolot hanya kerana keterbatasan-keterbatasan yang wujud.

Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara yang perlu dititik beratkan. Saya sendiri dulu pernah terfikir, dalam Islam terlalu banyak pantang larang. Itu tak boleh, ini tak boleh. Walhal setiap peraturan Islam tentukan punya kebaikan dan sebab-sebabyang khas buat manusia yang fitrahnya adalah Islam pada asalnya sebelum lahirnya kita ke dunia dan ditentukan dalam berlainan agama. Bukan?

Jika penganut bukan Islam berfikiran sedemikian, kita sendiri sedia maklum bahawa mereka tidak mendalami agama suci ini sedalamnya. Namun, yang dikisahkan apabila penganut Islam sendiri, mereka yang mengaku keEsaan Allah dan kerasulan kekasihNYA pun mengatakan bahawa Islam ini kolot. Terdapat perkara-perkara yang dianggap kolot jika diturutkan.

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Al-Baqarah ayat 256

“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama mu."
Al Maidah ayat 3


“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah;”
Al Qashash ayat 16


“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yakub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu,
maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.”
Al-Baqarah ayat 132

Kita ni dah terlalu banyak disogokkan dengan budaya dan cara hidup mereka bukan Islam.
Kebebasan yang dipertontonkan. Dunia menjadi dambaan dan dikejar. Bukankah ada suatu waktu dimana makhluk Allah yang dikurniakan akal ini akan dihisab? Bukankah ada suatu saat dimana,harta tidak lagi berguna untuk menyelamatkan diri di sana?

Islam itu penawar. Kerana setiap sesuatu diukur dengan kehalusan dan kesempurnaanNYA
yang tidak ternilai. Sekalipun hal yang remeh sekalipun. Sekecil perkara itu punya banyak hikmah yang menguntungkan diri sendiri. DIA? tidak pernah mengharapkan balasan hambaNYA kerana ia bukan bermakna pada Pencipta.

Terkadang mungkin kita merasakan bahawa kita tidak boleh terlalu jumud dalam soal Islam memandangkan kita di zaman era baru. Zaman kecanggihan. Zaman dimana material makin hebat, dan akhlak manusia semakin tenat. Tapi, asasnya yang dianggap remeh itu mampu menyelamatkan permulaan risiko yang lebih besar.

Teringat kata seorang teman, Islam itu fleksibel. Sesuai mengikut peredaran zaman.
Tapi..manusia telah terlalu mengikut keadaan sehingga Islam itu sendiri akhirnya ditinggalkan
hanya pada namanya dan seterusnya memalingkan hukum Islam terus.

Kita lupa, redha Allah itu pada perkara yang disukai dan dicintaiNYA.
Kita alpa, bahawa Rasulullah dah menetapkan kita tidak akan sesat mahupun tersasar dengan berpandukan Kalamullah dan sunnah baginda.

Tolonglah.
Jangan mudah berkata sesuatu itu KOLOT.
Hanya kerana keterbatasan yang wujud dan merasa susah untuk diikut.
Terkadang..perkara itu nampak kolot,
tapi tersembunyi redha Ilahi sebenarnya.

Apa pun,
Jom hayati agama kita!
Jangan dipersoalkan sebelum mengenal.
Tak kenal maka tak cinta.
Kan?
Fastabiqul Khairat..!!!

Adab Memberi Nasihat




Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.
.................................................................................

Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.

Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.

Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.

Dosa Tinggal Solat Lebih Besar Daripada Zina

Pada satu senja yang lengang, kelihatan seorang wanita berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menunjukkan dia dicengkam kesedihan manakala kerudungnya menutup rapat hampir seluruh wajahnya.

Walaupun tidak bersolek atau memakai perhiasan lain di tubuhnya, kulitnya yang bersih, memiliki tubuh yang ramping dan rona wajah yang ayu, tetap tidak dapat menghapuskan kepedihan yang sedang membelenggu hidupnya.

Dia melangkah perlahan-lahan mendekati rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Apabila terdengar ucapan ‘silakan masuk’ dari dalam, wanita cantik itu melangkah masuk sambil kepalanya terus tertunduk.

Air matanya berderai ketika dia berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah saya, doakan saya supaya Tuhan berkenan mengampunkan dosa keji saya,” “Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut. “Saya takut mengatakannya,” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah, jangan ragu-ragu,” desak Nabi Musa.

Lalu wanita itu memulakan cerita, “Saya….telah berzina.” Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari penzinaan itu, saya pun…. hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya…cekik lehernya sampai…mati,” cerita wanita itu sambil menangis sekuat-kuat hati.

Mata Nabi Musa berapi-api dan dengan muka yang berang, dia mengherdik, “Perempuan jahat, nyah kamu dari sini! Supaya seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan muka kerana jijik.

Mendengar herdikan itu, wanita itu pun segera bangun dan berlalu dengan hati yang hancur luluh. Ketika keluar dari rumah Nabi Musa, ratapannya amat memilukan. Dia terfikir ke mana lagi dia hendak mengadu kerana apabila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang betapa besar dosanya dan jahat perbuatannya.

Tetapi dia tidak tahu bahawa sepeninggalannya, Malaikat Jibril turun berjumpa Nabi Musa. Lalu Jibril bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang lebih besar daripadanya?”

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?” tanya Nabi Musa kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?” “Ada,” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa lagi. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita itu untuk menghadapnya semula. Dia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk memohon ampunan kepada Allah S.W.T untuk wanita itu.

Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Bererti, dia seakan-akan menganggap remeh perintah Allah, bahkan seolah-olah menganggap Allah tiada hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.

Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dalam dada, yakin bahawa Allah S.W.T itu ada dan berada di jalan ketaatan kepadaNya. Itulah sebabnya Allah pasti mahu menerima taubatnya.

Everybody Draw Muhammad (pbuh) Day

Assalamualaikum...selawat ke atas junjungan Muhammad saw yang membawa Islam ke seluruh dunia..

pertama sekali amat dikesali dengan tindakan dunia barat yang ingin mengadakan hari melukis Rasulullah saw pada 20 Mei nanti..

Hal ini kerana dunia barat bertindak balas atas respon blogger muslim yang mengecam Comedy Central apabila menayangkan Nabi Muhammad memakai sut beruang(nauzubillah) dalam satu episod kartun South Park.Kemudian,Molly Norris memberi idea kepada pelukis seluruh dunia membuat gambaran nabi saw pada 20 Mei dan submit gambar tersebut pada page facebook yang dia
tubuhkan

Bercakap pada rancangan radio Seattle pada hari Jumaat, kartunis Molly Norris berkata dia mengumumkan ideanya sebagai satu cara membalas ketakutan dipamerkan oleh Comedy Central dalam menapis episod 201 South Park.

masih tak jelas?
ringkasnya mereka hendak memburuk-burukkan nama nabi kita..dengan lukisan
umat islam seluruh dunia sedang bertindak dengan membersihkan nama nabi saw dengan video,komen,blog dan banyak lagi...
sertai group ini di fb

http://www.facebook.com/video/video.php?v=119281928095575#!/HonourProphetMuhammad?ref=ts

Apabila Diri Malas

Alhamdulillah bersyukur kerana kita masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumi Allah ini. Sebagai tanda kesyukuran, marilah kita sama-sama muhasabah di mana kita sekarang, apa yang sedang kita lakukan, adakah wajar segala tindak tanduk kita? Di sini saya ingin berkongsi tentang perasaan yang kadang kala hadir dalam diri kita iaitu...MALAS.
Jadi, untuk memulakan perkongsian, suka saya menyebut tentang ayat Allah yang menerangkan sifat orang munafik yang malas bersolat dalam Surah An-Nisa' (4:142):

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

Mungkin dalam keadaan kita sebagai seorang pelajar, konsep malas lebih kepada malas untuk mengulangkaji pelajaran, malas hendak buat tugasan, malas hendak mengemas rumah dan sebagainya. Hakikatnya malas itu PENYAKIT. Ya, penyakit yang boleh menjadi barah dan mungkin sampai tahap terminal.

Sebenarnya, kemampuan untuk berusaha adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita, seperti dalam post saya sebelum ini, kita berupaya untuk memilih dan berusaha. Kita menentukan hidup kita sendiri. Allah berfirman dalam Surah Ar-Ra'd (13:11):

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa malas itu juga satu pilihan, sama ada kita hendak terus bermalas-malasan atau untuk menolak perasaan tersebut. Saya mengingatkan diri sendiri juga, kadangakala kita sangat-sangat bermotivasi dan pada masa yang lain jadi hiper malas. Itu ujian sahabatku, hakikatnya masa senang dan lapang juga adalah ujian. Allah menguji sejauh mana kita menggunakan masa itu sebaiknya.

Memetik kata-kata dari buku yang amat saya suka hasil tulisan pendakwah terkenal Indonesia iaitu Aa Gym bertajuk "Ingat Tuhan Sampai Mati":

"Apabila muncul rasa malas beribadah (umum atau khusus), pada masa itu hawa nafsu berupa malas sedang merasuk diri. Justeru segeralah melawan.Kerahlah sepenuh tenaga dan kudrat yang ada. Bangun, dan lawanlah!. Janganlah kita termasuk di kalangan golongan orang-orang munafik kerana kita malas beribadah".


Setelah kita mengetahui bahawa kita mempunyai pilihan untuk jadi rajin dan melawan nafsu malas, maka marilah kita sama-sama lihat bagaimana keluar dari belenggu perasaan negatif ini. Firman Allah dalam Surah As-Saffat (37:61):

Untuk kemenangan serupa ini hendaklah berusaha orang-orang yang bekerja.

Ayat di atas menerangkan tentang kejayaan yang paling utama di akhirat iaitu memperoleh syurga hanya akan diberi kepada orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh di dunia. Sebelum dari ayat di atas, Allah menceritakan keadaan orang-orang yang beriman yang bersenang-senang di dalam syurga. Sambungan ayat ini juga Allah menerangkan seksaan bagi orang yang ditempatkan di dalam neraka. Sahabat-sahabatku, Allah menyuruh kita bekerja dan berusaha untuk mendapat kejayaan yang abadi di akhirat nanti.

Di sini saya ingin berkongsi tentang kuasa fikiran kita dalam menggerakkan tindakan kita. Hukum "Law of Attraction" telah diperkenalkan oleh beberapa penulis barat seperti Michael Josier dan Rhonda Byrne. Menurut mereka:
"Segala perkara yang kita fikirkan dengan seluruh perhatian, tenaga dan fikiran sama ada positif atau negatif, akan datang dalam kehidupan kita"
Apa yang dapat difahami dari hukum yang dicadangkan ini ialah: Kita menarik apa yang ada di sekeliling kita. Maksud tarikan di sini ialah kita menyumbang kepada berlakunya sesuatu perkara pada diri. Anda menguasai diri anda melalui pemikiran anda.

Dalam konteks perasaan malas, saya cadangakan supaya kita boleh memulakan beberapa langkah:
1) Fikirkan secara positif bahawa anda tidak malas dan hendak menjadi rajin.

2) Setiap kali selepas bangun dari tidur, yakinkan diri bahawa anda akan lakukan tugasan-tugasan.

(Contoh: basuh baju, siapkan tugasan...).Anda boleh membuat bayangan minda bahawa anda akan melakukan tugasan itu.

3) Sentiasa cabar diri.

Kadangkala saya gunakan pendekatan ini bila rasa nafsu malas sudah berada di tahap kritikal. Cuba cabar diri sendiri contoh: Kalau kau (nama sendiri) tak siapkan juga tugas ni, maksudnya memang la aku tidak tahu bersyukur, jadi sebagai denda, kurangkan masa 1 jam untuk tengok tv dan tambah sejam lagi untuk siapkan tugas). Ini hanya sebagai contoh, kadangkala manusia boleh jadi terkehadapan dengan cabaran dan tekanan pada diri.
4) Banyakkan muhasabah mengapa kita dibelenggu sifat malas.
Mungkinkah kita banyak melakukan dosa-dosa kecil atau besar hingga Allah tutup hati kita untuk membuat kebaikan? Adakah kita kurang merancang kehidupan hatta untuk sehari pun? Ingatlah setaip dosa menambah satu titik hitam dalam hati kita.

5) Mohon doa yang berpanjangan kepada Allah supaya dijauhkan sifat malas ini.

Seperti salah satu doa yang biasanya dibaca semasa membaca Al-Mathurat (himpunan doa-doa yang digalakkan untuk dibaca pada waktu pagi dan petang) iaitu maksudnya:
"Allahumma, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari kelemahan dan kemalasan; dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil; dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang"

Jadi, marilah kita sama-sama bergerak dan berubah, bangun dan terus kepada tugasan yang diamanahkan kepada kita. Sebelum terlambat dan sebelum sampai hari di mana kita akan dipertanggungjawabkan tentang nikmat masa, di mana kita gunakan. Ayuh! berubahlah,apabila diri malas,katakan..tidak, aku mahu berubah, ya, berubah kerana Allah, untuk mencapai redha-Nya, InsyaAllah.

Wallahua'alam.

Mengapa Allah Dahulukan Cinta

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan cinta(mawaddah) dan belas kasihan(rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum:21)



Pergi ke mana sahaja forum atau ceramah yang berkisarkan dengan cinta,tidak kisahlah cinta manusia ataupun cinta monyet, penceramah pasti menggunakan ayat di atas bagi mengupas isu cinta kerana pada ayat ini Allah secara berterus-terang menyatakan manusia diciptakan untuk saling mencintai malah ayat ini menekankan bahawa perasaan cinta itu harus ada untuk dua jantina yang berbeza, lelaki dan perempuan, suami dan isteri.Maka,tidak hairanlah jika ayat ini dipilih oleh penceramah untuk menerangkan tentang cinta. Ayat yang sama saya dengari pada khutbah minggu lepas yang berkisarkan tentang perkahwinan. Khatib menjelaskan bahawa masalah atau kanser yang berlaku dalam masyarakat kita berpunca daripada institusi keluarga dan masalah dalam institusi keluarga ini bermula di saat perkahwinan lagi.

Berapa ramai yang hidup mewah tapi tidak bahagia kerana isteri dan berapa ramai yang hidup bahagia tetapi tidak mewah,juga kerana isteri. Isteri mesti memainkan peranan dalam menjaga kebahagian rumah tangga dan begitu juga suami.Dan masalah pada hari ini juga berlaku dek kerana ibu bapa menyekat anak-anak daripada berkahwin awal,atas alasan mereka belum bersedia dan tidak mampu menanggung anak orang.Jadi,mereka yang dikatakan tidak bersedia itu tanpa segan silu mencari pasangan yang juga kurang bersedia untuk melepaskan nafsu mereka. Ana terus angguk dan mengangguk,bersetuju dengan apa yang dibicarakan oleh khatib. Tiba-tiba,apabila khatib membaca ayat di atas dan menekankan perkataan mawaddah dan rahmah itu,ana tersentak dan tersedar akan satu kebesaran Allah dalam penciptaan manusia. Seperti ana selalu tulis,ayat quran tidak diturunkan secara rawak.Jika Allah sebut baik dulu baru sempurna,maka ada sebabnya. Jika Allah sebut perempuan dahulu baru lelaki,juga ada sebabnya.Allah tidak pernah mengeluarkan apa-apa fakta yang tidak mengikut susunan.Allah susun ayat Nya satu demi satu,dari setitis air mani,Allah susun kepada embrio,fetus dan manusia.Lihatlah betapa agungnya Al-Quran dan hal ini menjelaskan kepada kita bahawa bukan Muhammad yang menulis semua ini.Namun, jangan sesekali kita menafikan kebijaksanaan dan mukjizat Rasulullah.

Persoalannya di sini,mengapa Allah sebut cinta dahulu baru kasih sayang?Kenapa Mawaddah dahulu baru Rahmah? Jika ikut kepada akal yang waras,mestilah berkasih sayang dahulu barulah cinta itu lahir tapi mengapa Allah sebut cinta dahulu barulah berkasih sayang?Pelik tapi ada logiknya. Semua ini sebenarnya menepati fitrah kehidupan manusia.Kitaran hidup manusia bermula daripada bayi kepada kanak-kanak kepada remaja kepada dewasa kepada orang tua.Dan kebiasaan manusia berkahwin pada umur 15(baligh)-40(sebelum monopause) iaitu ketika kitaran remaja dan dewasa.Memang ada kanak-kanak yang kahwin seperti Saidatina Aishah dan memang benar ada juga orang tua yang kahwin tetapi bilangan golongan sebegini tersangatlah sedikit.Maka,boleh diabaikan.



Kenapa manusia berkahwin waktu remaja dan dewasa? Kerana waktu itulah perasaan cinta sesama manusia tersangatlah kuat. Kenapa anda bercinta? Sebab matanya yang cantik macam Heliza. Sebab suaranya merdu macam Siti Nurhaliza. Sebab wajahnya lawa seperti Lisa Surihani. Sebab kebijaksanaannya seperti Sofea Yusof. Sebab perangainya baik seperti Aisha dalam Ayat-Ayat Cinta. Jadi,bilakah semua sebab-sebab ini tertonjol dalam kitaran hidup manusia? Waktu kanak-kanak mereka? Waktu tua mereka? TIDAK,tetapi dalam waktu remaja dan dewasa.

Sebab Allah sebut cinta dahulu kerana Allah menyuruh kita betul-betul bercinta dengan pasangan kita pada waktu remaja dan dewasa supaya lahirnya perasan kasih dan sayang di dalam diri masing-masing kerana ketika waktu tua,semua sebab-sebab kita mencintainya sudahpun hilang,pudar dek usia yang memakannya. Dia yang mukanya lawa sudahpun berkedut… Dia yang suaranya merdu sudahpun sumbang… Dia yang perangainya baik sudahpun terlantar tidak mampu berkata apa-apa lagi.. Waktu inilah hasil cinta di waktu remaja dan dewasa tadi perlu digunakan.Jika tiada cinta,perasaan kasih dan sayang sukar diwujudkan.

Benar,perasaan kasih mungkin ada,kasihan melihat dia yang tiada tempat pergantungan, kasihan melihat dia yang terbaring tidak bergerak,kasihan melihat dia yang terberak di dalam seluar tetapi sejauh mana kasihan ini akan pergi jika tiada sayang? Mulut hanya mampu berkata kasihan tetapi tiada sebarang tindakan akan diambil kerana tiada sayang. Kenapa tiada sayang? Kerana tiada cinta.
“Allahuakbar,Allahuakbar…”Bilal melaungkan iqamah,menyedarkan ana dari lamunan panjang.

Makna Air Mata Insan

PERNAHKAH anda menangis?

Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri. Allah yang menciptakan ketawa dan tangis. Banyak air mata mengalir di dunia ini.

Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti. Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:


1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta.
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik yakni pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka. Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu: Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat. Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya. Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud:

Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.
1. Apabila dahinya berpeluh.
2 Air matanya berlinang.
3. Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t. Justeru, serulah air mata itu daripada persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.



Sumber: Petikan daripada Harian Metro

Let's Talk


ShoutMix chat widget